Kemaskini terakhir: 2 Ogos 2009
Tarikh hari ini: 8 Sep 2010

Sejarah skuad BAT bermula pada tahun 2003 iaitu setahun selepas Liga Alumni Malaysia diperkenalkan. Pada masa itu skuad diuruskan oleh Pacaq, bekas pelajar MRSM Taiping dan memulakan kempen Liga Alumni di Bahagian Tiga. Pada masa yang sama sebuah pasukan yang dikenali sebagai XSMTKL (Alumni Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur) turut bermain di Bahagian Tiga yang diuruskan oleh Abe, bekas pelajar MRSM Taiping SPM 1993.

Setelah selesai musim 2003, skuad berjaya memperolehi promosi ke Bahagian Dua. Namun dengan persaraan Pacaq, Abe mula mengambilalih dan mengambil keputusan untuk menggabungkan Skuad BAT dan XSMTKL bagi persediaan musim 2004. Namun pengalaman bermain di Bahagian Dua ternyata amat mencabar dan menyaksikan skuad turun ke Bahagian Tiga semula bagi musim 2005. Walaubagaimana pun musim 2004 turut memberi berita baik apabila menyaksikan skuad menjadi naib johan Piala Salam ANSARA 2003, satu kejohanan pra-musim yang menemukan pasukan ANSARA dan pasukan yang baru menyertai Liga Alumi. 

Musim 2005 menjadi detik kebangkitan skuad dan hanya rekod pertemuan dengan MOZAC yang menidakkan peluang skuad untuk naik semula ke Bahagian Dua walaupun skuad mempunyai kelebihan jaringan. Akhir musim 2005 juga menyaksikan pengurusan skuad diambilalih oleh Madun, bekas pelajar MRSM Taiping SPM 1994 apabila Abe ke United Kingdom untuk melanjutkan pengajian beliau.

Kehebatan skuad semakin terserlah pada musim 2006 apabila skuad berjaya memperolehi kejayaan pertama iaitu menjuarai Bahagian Tiga sekaligus promosi ke Bahagian Dua bagi musim 2007. Namun skuad terpaksa berhempas pulas di dalam musim 2007 untuk memastikan peristiwa musim 2004 tidak berulang dan akhirnya dengan kedudukan kelima dalam liga, skuad berjaya mengekalkan status sebagai pasukan Bahagian Dua.

Musim 2008 merupakan satu lagi kemuncak kejayaan skuad apabila berjaya menjadi naib johan Bahagian Dua setelah memperolehi mata yang sama dengan SEMESTA (Alumni Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra) tetapi kelebihan jaringan tidak memihak kepada skuad. Sesungguhnya peluang untuk bermain di Bahagian Satu musim 2009 merupakan satu pengalaman yang amat dinanti-nantikan oleh pengurus dan pemain-pemain.

Ditulis oleh Abe pada 21 August 2008